Pusat Tahfiz Sharif Hidayatullah ini merupakan sebuah Pusat Pendidikan Agama Islam yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengikut Perakuan Pendaftaran Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dengan nombor pendaftaran 202003084289 (003095028-X) dan juga Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah dengan nombor pendaftaran PHK160/20.
Pusat Tahfiz Sharif Hidayatullah ini adalah sebuah pusat pengajian Islam yang berteraskan ‘Pengajian Berkitab’ dan merupakan Pusat Pengajian Tahfiz yang dibuka kepada golongan perempuan dari usia 17 tahun sehingga 28 tahun. Pusat ini dibangunkan dengan unsur-unsur akademik, keimanan, ketaqwaan, dan pengetahuan demi melahirkan hamba ALLAH yang bertaqwa dan memahami agama dengan landasan yang benar mengikut Aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Imam Syafi’e. Pusat Tahfiz Sharif Hidayatullah ini ditadbir oleh Ustazah ‘Atikah Binti Bahrin sebagai Mudirah yang dilantik.
Fokus utama bagi Pusat Tahfiz Sharif Hidayatullah ini adalah Pengajian Tahfiz Berkitab Asas Fardhu ‘Ain, Pengajian Kitab Umumi (penduduk berdekatan) dan juga Pengajian Mengaji Al Quran bagi kanak-kanak di sekitar. Pusat Tahfiz Sharif Hidayatullah pada awal pembukaannya adalah di alamat No. 517, Lorong Ria Mesra 28, Kampung Batu 5, 08300 Gurun, Kedah. Kemudiaan berpindah pada tahun 2023 ke alamat sementara di No. 1195, Jalan Prima 36, Residensi Pr1ma Puteri Jaya 2, 08000 Sungai Petani, Kedah
Pusat Tahfiz Sharif Hidayatullah telah mula beroperasi pada Mac 2020 dengan jumlah pelajar seramai 1 orang dan 1 orang guru. Sehingga kini Tahun 2022 jumlah pelajar telah bertambah menjadi seramai 11 orang dan 4 orang guru. Pelajar kami datang dari negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Selangor. Dan ada dikalangan para pelajar kami ini datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan yang mana mereka tidak mampu membayar yuran asrama namun semangat untuk menuntut ilmu mereka sangat tinggi.
Secara kesimpulannya, diharapkan penubuhan Pusat Tahfiz Sharif Hidayatullah ini dapat memberikan peluang kepada para muslimah dari golongan remaja dan dewasa di luar sana untuk lebih memahami agama dengan landasan yang benar mengikut jalan Ahlul Sunnah Wal Jamaah bagi menghadapi cabaran akhir zaman yang kian mencabar di saat ini.